Misi Perbadanan Ekonomi Islam Perak Sdn Bhd (PSB) adalah melaksanakan aktiviti ekonomi dan sosial berlandaskan Syariah serta menjadikan organisasi yang mempunyai keupayaan kewangan yang kukuh dan Sumber Manusia yang berkualiti. Dalam menggerakkan misi tersebut PSB mengambil pendekatan TOLERANSI SIFAR terhadap semua bentuk aktiviti rasuah dan komited untuk:
Memerangi rasuah dan mengekalkan persekitaran kerja dan urus tadbir bebas rasuah bagi semua warga kerja dan pihak berkepentingan.
Menjadikan elemen integriti sebagai salah satu prinsip dan budaya yang telah digariskan melalui nilai teras utama PSB iaitu termasuk Profesional, Proaktif, Inovatif, Melangkaui Jangkaan dan Pembangunan Berterusan.
Memastikan semua perkhidmatan dan urusan operasi termasuk urusniaga dilaksanakan secara beretika, profesional dan berlandaskan undang-undang serta peraturan yang terkandung di dalam Polisi di setiap Unit.
Memenuhi keperluan pelaksanaan Sistem Pengurusan Anti Rasuah (SPAR) – ISO 37001:2016 Anti Bribery Management System (ABMS).
Mematuhi semua undang-undang yang berkaitan termasuklah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 (Pindaan 2018), peraturan peraturan syarikat, prosedur-prosedur dan lain-lain arahan yang relevan untuk menangani rasuah dalam semua bidang kuasa Syarikat di mana-mana ia beroperasi.
Menyediakan saluran dan menggalakkan pelaporan berkenaan aktiviti berunsur rasuah menerusi Polisi Pendedahan Maklumat (Whistleblowing Policy).
Mengadakan Polisi Pemberian/Penerimaan Hadiah dan Hospitaliti yang bertujuan untuk mengawal elemen-elemen rasuah dan tiada percanggahan kepentingan ketika menjalankan tugas rasmi.
Memastikan agar Bahagian Komunikasi, Budaya & Integriti Unit Modal Insan & Pentadbiran Kumpulan PSB bertindak secara telus dan bertanggungjawab mengawal selia isu-isu integriti dan aktiviti rasuah.
Mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas mana-mana warga PSB yang didapati tidak mematuhi polisi-polisi anti rasuah yang berkaitan.
- Memastikan penilaian semula dan penambahbaikan polisi Anti Rasuah PSB dilaksanakan secara berterusan.
Polisi Pendedahan Maklumat PSB (Whistle Blowing Policy) ini secara jelas menerangkan tindakan-tindakan yang perlu dilakukan sekiranya berlaku salah laku rasuah, percanggahan kepentingan, salah guna kuasa, penyelewengan dan pelanggaran kepada peraturan-peraturan di dalam PSB. Polisi ini merupakan satu inisiatif untuk memastikan PSB mempunyai mekanisma kawalan dalaman yang mantap, sistematik dan selari dengan undang-undang dalam usaha untuk membendung salah laku yang menyumbang kepada berlakunya ketirisan, pembaziran dan ketidakadilan sehingga menjejaskan reputasi PSB.
PSB perlu meneruskan prinsip TOLERANSI SIFAR dalam sebarang bentuk salah laku rasuah, percanggahan kepentingan, salah guna kuasa dan penyelewengan serta memastikan segala urusniaga adalah efisien dan bersih dari sebarang unsur salah laku berkenaan. Oleh itu, polisi ini perlu menjadi medium utama untuk menyuarakan kesangsian atau melaporkan sebarang salah laku tanpa rasa bimbang.
Perlindungan sewajarnya akan diberikan kepada pelapor tertakluk kepada syarat dan peraturan yang ditetapkan dalam polisi ini. Saya berharap polisi ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua petugas PSB, pihak yang berkepentingan dalam PSB dan rakan perniagaan PSB terutamanya apabila berdepan dengan situasi salah laku tersebut. Adalah penting untuk meningkatkan kepercayaan masyarakat kepada PSB dan menghindar ketirisan melalui kerja yang telus dan berkualiti tinggi.
Sekian, terima kasih.
Pelan Antirasuah Nasional telah mengenal pasti antara punca utama perlakuan rasuah merupakan kelemahan pentadbiran dan percanggahan kepentingan. Perbadanan Ekonomi Islam Perak Sdn Bhd (PSB) juga berpotensi tinggi terlibat dalam percanggahan kepentingan ketika menyampaikan perkhidmatan kepada masyarakat.
Oleh yang demikian, demi menyahut seruan Kerajaan dalam menangani isi rasuah dan penyelewengan yang melibatkan percanggahan kepentingan, PSB akan melaksanakan pelbagai usaha dan inisiatif antaranya membangunkan Polisi Pengurusan Percanggahan Kepentingan.
Polisi ini bertujuan untuk memberi panduan kepada warga PSB berkaitan tatacara pengurusan percanggahan kepentingan dalam menjadi rujukan kepada pihak ketiga yang berurusan dengan PSB bagi mengelakkan percanggahan kepentingan.
Harapan saya agar dengan pelaksanaan Polisi ini dapat menjadikan PSB sebagai Syarikat yang bebas perlakuan rasuah dan mengutamakan amalan kerja yang tulus dan amanah.
PSB membangunkan Polisi Pemberian dan Penerimaan Hadiah dan Hospitaliti. Ini merupakan salah satu usaha ke arah memperkukuhkan dan membudayakan perkhidmatan yang berintegriti di kalangan warga kerja Kumpulan PSB.
Di Malaysia, amalan menerima dan memberi hadiah telah menjadi budaya di kalangan masyarakat bagi menzahirkan rasa penghargaan, persahabatan dan persaudaraan. Ia merupakan amalan yang baik sekiranya pemberian tersebut dilakukan dengan niat baik, jujur dan ikhlas untuk tujuan menzahirkan penghargaan atau mengeratkan persahabatan dan persaudaraan. Namun begitu, ia boleh menjadi amalan yang tidak baik sekiranya pemberian tersebut dilakukan untuk tujuan mendapatkan sesuatu balasan, ganjaran, keistimewaan dan sebagainya.
Sebagai sebuah syarikat yang berurusan secara terus dengan pelanggan dan golongan sasar, warga kerjanya terdedah kepada amalan pemberian dan penerimaan hadiah. Jesteru, syarikat telah mengeluarkan polisi ini sebagai panduan dan rujukan bagi menangani isu pemberian dan penerimaan hadiah dalam pelaksanaan tugas rasmi warga kerja Kumpulan PSB.
Polisi ini menggariskan larangan, kesalahan undang-undang, ketidakpatuhan kepada larangan dan tindakan yang berkaitan dengan pemberian dan penerimaan hadiah dalam perkhidmatan awam berdasarkan akta, pekeliling dan arahan yang berkuatkuasa.
Semoga seluruh warga kerja Kumpulan PSB dapat menghayati dan mematuhi polisi ini demi memelihara ketelusan dan profesionalisma syarikat dalam menyediakan perkhidmatan berteraskan misi PSB iaitu melaksanakan aktiviti ekonomi dan sosial berlandaskan Syariah serta menjadikan organisasi yang mempunyai keupayaan kewangan yang kukuh dan Sumber Manusia yang berkualiti.